Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) merupakan badan penguatkuasa utama negara. Tugas sebagai seorang anggota Polis menuntut kesiapsiagaan sepanjang masa dalam menghadapi sebarang kemungkinan luar jangka. Menyedari hakikat tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, keupayaan mengurus kecerdasan emosi menghadapi cabaran berkhidmat dalam sebuah organisasi yang berteraskan disiplin adalah amat penting. Fokus utama kajian ini adalah untuk mengenalpasti hubungan di antara tahap kepuasan kerja berdasarkan faktor pendorong dan penggerak dengan tahap kecerdasan emosi bagi konstrak intrapersonal dan interpersonal dalam kalangan anggota Polis DiRaja Malaysia. Responden kajian terdiri daripada 400 orang anggota Polis pelbagai pangkat (Konstable hingga Deputy Superintenden Police ) yang sedang berkhidmat di IPPD Subang Jaya, Selangor. Data kajian dianalisis menggunakan SPSS ver.22. Ujian statistik deskriptif digunakan untuk menganalisis maklumat demografi responden iaitu gaji dan cawangan berkhidmat. Manakala ujian kolerasi Pearson, ANOVA dan Post Hoc serta analisis Regresi Berganda digunakan untuk menguji hipotesis kajian yang telah diformulasikan. Dapatan kajian menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan di antara tahap kepuasan kerja dengan tahap kecerdasan emosi, sementara dimensi rakan sekerja faktor penggerak pula dikenalpasti sebagai penyumbang utama terhadap kecerdasan emosi responden. Kesimpulannya, dapatan kajian membuktikan Teori Dua Faktor Herzberg terpakai dalam organisasi PDRM dan dapatan kajian ini sesuai dijadikan rujukan dalam merangka intervensi menyeluruh program pembangunan modal insan ke arah pemantapan kecerdasan emosi bagi mengurangkan statistik salah laku dalam kalangan warganya memandangkan kedua-dua elemen ini adalah faktor peramal penting dalam menjaga keharmonian organisasi PDRM.