摘要:Ketakutan terhadap jenayah yang muncul menjadi isu yang membimbangkan
dan dianggap masalah sosial kerana ia memberikan kesan yang negatif kepada
kesejahteraan mental dan fizikal seseorang individu. Walaupun topik ini mendapat
perhatian daripada penyelidik-penyelidik Barat sejak tahun 1960-an, namun
masih tidak banyak kajian tentang ketakutan terhadap jenayah yang dijalankan
di Malaysia. Tambahan pula, corak statistik jenayah di Malaysia yang tidak
stabil dan persepsi rakyat Malaysia bahawa indeks jenayah semakin meningkat
pada saban hari menjadikan isu ini wajar untuk dikaji. Oleh itu, objektif kajian
ini adalah untuk menganalisis faktor penyumbang ketakutan terhadap jenayah
dengan mengkaji faktor jantina, kawasan tempat tinggal dan sejarah menjadi
mangsa jenayah terhadap tahap ketakutan, tahap keselamatan, persepsi risiko
menjadi mangsa dan tingkah laku berjaga-jaga. Kajian ini dijalankan di beberapa
universiti di Malaysia dengan menggunakan kaedah tinjauan melalui borang soal
selidik yang diadaptasi daripada Fear of Crime in America Survey terhadap 303
orang pelajar universiti prasiswazah berwarganegara Malaysia. Hasil kajian ini mendapati bahawa pelajar perempuan mempunyai tahap ketakutan yang lebih
tinggi dan kerap mengamalkan tingkah laku berjaga-jaga berbanding pelajar
lelaki. Pelajar dari bandar dan luar bandar mempunyai tahap ketakutan, tahap
keselamatan, dan persepsi risiko menjadi mangsa yang hampir sama, namun,
pelajar dari bandar lebih banyak mengamalkan tingkah laku berjaga-jaga
berbanding pelajar dari luar bandar. Kajian ini juga mendapati bahawa tiada
perbezaan tahap ketakutan, tahap keselamatan dan persepsi risiko antara pelajar
yang pernah menjadi mangsa dengan tidak pernah langsung menjadi mangsa.
Hasil kajian ini telah memberikan idea untuk mengkaji isu ketakutan terhadap
jenayah di Malaysia dengan lebih mendalam dan dari pelbagai aspek pada masa
akan datang.
关键词:keselamatan; ketakutan terhadap jenayah; pelajar universiti; persepsi
risiko; tingkah laku berjaga;jaga