摘要:Carta kawalan banyak digunakan dalam kawalan mutu berstatistik. Tujuan menggunakan carta kawalan ini adalah untuk memastikan sesuatu proses berada dalam keadaan terkawal dan stabil sepanjang masa secara grafik. Carta kawalan ini terdiri daripada had-had kawalan iaitu, had kawalan atas, had kawalan tengah dan had kawalan bawah. Untuk mengetahui sesuatu proses tersebut adalah terkawal, kesemua titik yang mewakili variasi dalam sesuatu proses berada di dalam lingkungan had atas dan had bawah. Jika terdapat titik yang terkeluar daripada had kawalan atas mahupun had kawalan bawah, maka proses tersebut dikatakan tidak terkawal dan tidak stabil. Salah satu penggunaan carta kawalan yang meluas ialah carta kawalan XmR iaitu X mewakili nilai individu manakala mR mewakili peralihan julat. Untuk memastikan sesuatu proses tersebut berada dalam keadaan terkawal dan stabil, anggapan kenormalan mestilah dipenuhi. Namun demikian, kebanyakan proses pengeluaran menghasilkan data yang pencong dan ini menyebabkan proses tersebut tidak terkawal dan tidak stabil. Oleh itu, satu pendekatan berdasarkan kuasa penjelmaan akan turut dibincangkan dalam kajian ini.