出版社:School of Language Studies and Linguistics, Universiti Kebangsaan Malaysia
摘要:Kebanyakan pengajaran di peringkat tertinggi di Malaysia dijalankan secara kaedah
visual dan auditori di mana pelajar banyak membaca serta menggunakan deria
pendengaran untuk mendengar syarahan serta perbincangan dalam bilik darjah.
Sebahagian besar fokus kajian kes ini tertumpu kepada persoalan samada pelajar kurang
mahir tahun satu yang tidak dikecualikan dari mengambil kursus bahasa Inggeris paling
asas dari program Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Inggeris (B.A ELS) di
Universiti Kebangsaan Malaysia boleh mengadaptasi gaya pembelajaran mereka di luar
mod keutamaan mereka dengan membuat latihan. Latihan yang diberikan adalah dalam
bentuk mod visual dan auditori serta cara bekerja secara individu yang dijalankan oleh
penyelidik selama lapan bulan. Alat untuk mengumpul data terdiri dari soal selidik gaya
pembelajaran perseptual (Perceptual Learning Style Preference) olahan Reid (1984, dlm.
Reid, 1995), penulisan jurnal, temubual separuh berstruktur dan pemerhatian. Antara
dapatan kajian ini ialah: 1) kebanyakan pelajar terlibat mempunyai sekurang-kurangnya
gaya kinaestetik dan, atau taktil sebagai gaya pembelajaran perseptual major mereka dan
mereka memilih bekerja secara berkumpulan sebagai gaya pembelajaran sosiologi major;
2) selepas menjalani latihan, pelajar menunjukkan reaksi serupa iaitu mereka mendapati
sukar untuk menyiapkan tugasan visual atau auditori, mempunyai cara belajar yang sama
dan menunjukkan reaksi negatif ke atas gaya pembelajaran yang tidak sepadan dengan
gaya pembelajaran major sedia ada. Walau bagaimanapun mereka mendapati teknik baru
pembelajaran auditori dan visual berkesan apabila diamalkan di dalam kelas. Namun,
mereka kurang mengamalkan teknik-teknik pembelajaran yang baru tersebut kerana
mendapati sukar mengadaptasikan sesuatu yang baru.