标题:Impak Polisi Ekuiti Liberal Terhadap Pola Hak Milik Pelaburan Dalam Sektor Perindustrian Pembuatan Di MalaysiaThe Impact of The Liberal Equity Policy on the Pattern of Investment Ownership in the Industrial Manufacturing Sector in Malaysia
摘要:Sejak strategi perindustrian berorientasikan eksport diperkenalkan, pelaburan langsung asing (PLA) telah dikenal pasti sebagai mekanisme penting dalam pembangunan industri di negara ini. Dalam usaha untuk menarik pelabur asing, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai insentif kewangan dan bukan kewangan serta aspek regulatori yang lebih liberal sebagai dorongan untuk pelabur asing menempatkan aktiviti pengeluaran mereka di negara ini. Penyertaan modal asing dalam sektor perindustrian pembuatan semakin penting sejak pengenalan Ordinan Industri Perintis pada tahun 1958, diikuti oleh Akta Galakan Pelaburan 1968 dan Akta Zon Perdagangan Bebas pada tahun 1971. Bagi projek pelaburan yang berorientasikan eksport majoriti milikan asing adalah dibenarkan dan dalam kes-kes tertentu ekuiti asing 100% dibenarkan sekiranya eksport syarikat sekurang-kurangnya 80%. Walau bagaimanapun, Polisi Ekuiti Liberal yang berkuat kuasa mulai 17 Jun 2003, membenarkan ekuiti milikan asing 100% kepada semua pelaburan dalam projek baru dan juga projek tambahan atau kepelbagaian (expansion/diversification) tanpa mengambil kira tahap eksport syarikat-syarikat tersebut. Liberalisasi dari segi hak milik ini mempunyai implikasi yang besar terhadap status milikan dalam sektor perindustrian negara dan kesannya terhadap faedah dan manfaat yang boleh diperolehi daripada aktiviti syarikat asing terhadap pembangunan industri tempatan. Artikel ini akan membincangkan kesan Polisi Ekuiti Liberal terhadap pola hak milik dalam sektor perindustrian pembuatan di Malaysia dan implikasi daripada dasar yang liberal ini terhadap pembangunan sektor industri negara dan pencapaian dasar pembangunan nasional dalam menuju ke arah negara perindustrian maju. Berdasarkan kepada data statistik yang diperolehi daripada Malaysian Industrial Development Authority (MIDA), jelas menunjukkan peningkatan yang besar dalam pelaburan milikan asing sepenuhnya dalam sektor perindustrian pembuatan khususnya sektor industri barangan elektrik dan elektronik sejak awal tahun 1990-an